Aku hanya mahu menghabiskan sisa-sisa hidupku dengan bersimpuh dan bersujud pada Yang Esa
Namun bagaimana aku bisa khusyuk dalam khalwatku
Kerana tika ku pejamkan mata
Aku melihat anak bangsaku dikotak-katikkan
Aku nampak hak generasi mudaku dirobek-robek
Dek tangan-tangan rakus yang berqiblatkan syaitan
Aku tahu aku perlu berbuat sesuatu
Aku bukan orangnya untuk diam berpeluk tubuh
Memerhatikan segala macam kemungkaran, segala macam salah laku dan segala macam noda
Yang dibuat tanpa sebarang rasa berdosa
Ya Allah Ya Tuhanku
Kini aku tahu kenapa Kau memanjangkan nyawaku
Dengan sifat Rahman dan RahimMu, pada usia 93 tahun aku masih boleh berdiri gagah, masih dikurniakan kesihatan yang baik, masih berfikiran waras dan masih bersemangat waja
Dalam menghadapi perjuangan terakhirku
Syukur Alhamdulillah
Dengan izinMu aku telah berjaya
Mempertahankan yang Haq, menundukkan yang Bathil
Mudah-mudahan selepas ini aku dapat memejamkan mataku dengan tenang
Semoga rohku dapat bertemu Penciptanya dengan aman
Cuma satu pintaku
Setelah aku pejam mata
Janganlah diperbesar-besarkan namaku
Jangan nukilkan apa-apa tentangku
Anggaplah segala-galanya jariahku
Sebagai bekalanku di akhirat kelak
Andai sudi, tika itu cuma hadiahkanlah Al-Fatihah untukku
Moga jadi pendinding menghadapi Munkar dan Nangkir
Moga jadi bekal bersoal-jawab di Mahsyar
Moga jadi modal bertemu Yang Khaliq
Amin Ya-Rabbal 'alamin
Inilah puisi Tun Mahathir bin Mohamad